Jumaat, 12 April 2019

Bab 11

Bab 11
Pencinta Wanita - Irwansyah

“Alhamdulillah... Nasib baik semua yang kita belajar tadi, masuk dalam kepala aku. Rupanya, tak adalah susah mana pun matematik ni. Aku rasa kan, matematik lagi senang dari BM,” kata Johan.

Setelah tamat kuliah matematik, semua pelajar dijemput minum malam. Tapi Dazrien, Johan, Syamsul dan Arif menuju ke bilik mereka dulu, untuk simpan barang-barang. Sejuk angin malamnya. Suasana pun sunyi.

“Itulah. Sepatutnya korang sedar dah lama,” balas Dazrien. Johan mengangguk setuju. Namun, mereka berdua tersedar. Arif dan Syamsul tidak bersuara pula. Mereka pun toleh ke belakang, dan tengok dua orang tu tertunduk.

“Ni apahal pulak ni? Macam nampak hantu jer,” tanya Johan. Arif dan Syamsul angkat kepala serentak.

“Tak adalah. Mengantuk jer,” Arif usap rambut sendiri, sambil matanya curi-curi pandang seseorang di hadapan. Syamsul juga begitu. Mereka macam, nak senyum tapi malu. Jarang pula mereka begitu. Selalunya, macam-macam benda mereka bercakap.

Dazrien dan Johan perasan tu. Mereka pun pandang ke depan semula. Masya, Laila dan Sara sedang berjalan menentang arah mereka, menuju ke dewan makan.

“Ouh... Korang malu tengok Masya dengan Laila ke?” soal Dazrien kuat. Sampai terdengar tiga orang perempuan tu.

“Wuit! Shh!” Syamsul menolak lengan Dazrien.

“Apa? Shh? Ouh... Tak nak bagi diorang dengar? Okay, okay... Aku takkan bagitahu, yang korang sukakan diorang ehh?!” balas Dazrien, lagi kuat dari tadi.

Masya dan Laila pula yang tertunduk segan. Perempuan, biasalah... Syamsul dan Arif pula, terus mengejar Dazrien yang dah memecut laju. Sambil tergelak-gelak, Dazrien berlari menuju ke bilik.

Masya dan Laila yang tengah menahan malu, berjalan semakin laju meninggalkan Sara di belakang. Kebetulan yang bagus, Johan juga ditinggalkan.

“Hai Johan,” Sara berhenti, menghadapkan tubuh pada Johan yang juga buat begitu. Mereka saling bertentang mata tanpa sebarang suara buat seketika. Senyuman juga terukir di kedua-dua wajah. Daun-daun berguguran di sekeliling mereka, sewaktu angin bertiup perlahan.

“Jom ke dewan makan,” pelawa Johan. Sara mengangguk laju.

***

Sementara itu, Mazhan telah dibawa masuk ke bilik soal siasat. Tak lama selepas pintu ditutup, Hareez masuk dengan tangan kosong. Kemudian, Hareez duduk di hadapan Mazhan yang bergari, dengan mereka dipisahkan oleh sebuah meja.

“Macam mana lokap? Dah boleh biasakan diri?” soal Hareez sinis. Mazhan tersenyum.

“Aku pernah hidup kat tempat yang lagi teruk dari sini. Tolonglah, jangan cakap yang ini jer tempat yang polis Malaysia boleh bagi untuk aku. Memalukan,” Mazhan menggeleng perlahan.

“Tunggulah sampai kau masuk penjara,” Hareez ambil sehelai kertas yang ada di atas meja.

“Mazhan... Kau tahu kan? Kesalahan kau baru-baru ni terlalu berat? Kau terlibat dalam kes langgar lari yang hampir menyebabkan kematian, memukul pekerja kat butik Syamira, dan kau jugak terlibat dalam sindiket penyeludupan. Hukuman kau nanti, memang berat. Tapi ketua aku setuju untuk mohon dengan mahkamah, ringankan hukuman kau. Tapi, kau perlu tolong kitorang dulu,” kata Hareez.

“Tolong? Wow! Hebat! Polis minta tolong dari penjenayah! Patut masuk surat khabar, tulis besar-besar kat depan. Polis Malaysia merayu!” Mazhan ketawa seorang diri.

“Ketawalah selagi kau boleh ketawa. Sebab bila masuk penjara nanti, kau akan lupa cara untuk buat benda tu,” Hareez bersandar di kerusinya.

“Tak ada masalah. Kalau aku lupa, aku akan ingat tajuk akhbar tadi. Confirm aku ketawa balik,” Mazhan masih tersenyum.

“Aku tak ada masa. Sekarang, cuma bagitahu aku. Macam mana aku boleh jejak Ammar?” soal Hareez, serius.

“Hmmp! Senangnya kau minta. Macamlah aku akan terus jawab mudah-mudah. Pleaselah Hareez. Jangan burukkan lagi imej polis negara kita. Cubalah taktik yang lagi berkesan. Nak aku ajar ke?” Mazhan menepuk tangan.

“Cuma jawab, dan hukuman kau akan diringankan. Percayalah cakap aku. Kau sendiri pun tak sangka, hukuman apa yang kau kena hadap nanti. Kau takkan sanggup. Dalam penjara tu nanti, ada lagi ramai orang macam kau. Yang lagi jahat pun ada,” Hareez cuba mengugut.

“Tak ada gunanya kalau aku bagitahu. Macam nilah senang cerita. Kalau aku bagitahu pun, kau takkan dapat tangkap Ammar. Gudang dia tu, sangat-sangat selamat. Polis takkan berjaya masuk tangkap dia dan keluar hidup-hidup. Anak-anak buah dia, semuanya bersenjata dan pakar dalam membunuh. Kalau kau pergi jugak, kau macam membunuh diri jer,” Mazhan tersenyum yakin.

Hareez juga begitu. Senyumannya sangat meyakinkan sesuatu, sehingga Mazhan juga mula rasa tak sedap hati.

“Gudang... Terima kasih atas maklumat tu,” Hareez bangun, terus menuju keluar.

“Bukan gudang! Hareez!” Mazhan cuba bangun, namun polis yang tak tahu bila datangnya, menahan dia dari belakang.

“Good job, Hareez. Baik, tahan Mazhan elok-elok. Jangan bagi sesiapa jumpa dia,” Datuk Khalid menepuk bahu Hareez. Memang dah itu strategi Hareez. Kalau dia buat berjaya buat Mazhan tu sangat-sangat yakin dengan diri sendiri, lama-lama dia kana terlepas cakap juga. Macam orang mabuk yang gembira. Mainan psikologi. Antara strategi pihak polis.

***

Dazrien dah dikepung di bucu bilik. Setelah Arif dan Syamsul menutup pintu, mereka ambil kain tuala masing-masing. “Kau pernah rasa kena sebat?” tanya Syamsul geram.

“Wei... Rilek kejap. Meh aku nak cakap sikit. Bertenang, kita duduk dulu,” Dazrien cuba tenangkan mereka.

“Simpan jer kata-kata manis kau, Daz,” Arif mendekati Dazrien dengan tuala yang telah digulung. Dazrien tetap cuba tenangkan mereka. Akhirnya, mereka beransur tenang.

“Duduk dulu. Aku nak cakap something,” Dazrien pun duduk di katilnya. Syamsul dan Arif pun, duduk di katil masing-masing.

“Korang nak tahu tak? Aku tengok cara korang nak dekat dengan diorang tu, tak menjadi. Korang terlalu direct sangat. Memang diorang tahu, yang korang sukakan diorang. Tapi kalau dengan cara macam tu, diorang akan rasa tak selesa lama-lama nanti.

Korang sengaja ikut diorang senyap-senyap, kadang-kadang korang curi-curi tengok diorang, belanja diorang lagi. Aku yang duduk jauh pun boleh perasan semua tu, apa lagi diorang?” kata Dazrien.

“Habis tu macam mana? Apa yang kitorang patut buat?”

“Macam ni. Pegang dengan ayat aku. Sometime, if you want to get someone’s attention, you should stop give them yours,” pesan Dazrien. Syamsul dan Arif mengangguk faham. Namun mereka masih ragu-ragu. Still junior lagi dalam dunia percintaan ni agaknya.

“Tak, kejap. Mana kau tahu pasal semua ni?” soal Syamsul tiba-tiba.

“Sara chat dengan aku hari tu, aku tahulah,” balas Dazrien selamba.

“Ouh Sara chat kau? Kena bagitahu Johan ni,” usik Arif. Syamsul pun tersenyum sama. Namun Dazrien seperti terkejut pula. Apa kena-mengena dengan Johan pulak ni? Tiba-tiba je masuk nama dia?

“Kan Sara dengan Johan tu couple?” jawab Syamsul bila ditanya. “Couple? Siapa yang cakap?” soal Dazrien lagi.

“Siapa cakap apanya? Kan dah heboh satu kelas. Mereka jalan sama-sama, makan sama-sama, berborak panjang selalu, jumpa pun selalu. Ni Johan tak ada sekarang ni, tengah datinglah agaknya,” Arif pun menuju ke pintu semula dengan Syamsul. Takut lewat pula nak minum malam nanti.

Dazrien cuba kawal reaksinya. Sara dah lebih ni. Boleh dia biarkan berita palsu sebegitu tersebar?

***

Erfaz berhentikan keretanya di depan rumah Fattah lalu membuka pintu kereta penumpang belakang. Fattah turun bersama Syamira. Kemudiannya, Syamira memapah Fattah menuju ke dalam rumah dengan bantuan Erfaz. Letupan tadi membuatkan Fattah sakit seluruh badannya.

“Tak apa, abang. Mira boleh papah sendiri,” kata Syamira lembut dengan senyuman yang meyakinkan.

“Tak apalah kalau macam tu. Abang balik dululah... Assalamualaikum,” Erfaz menuju kembali ke arah keretanya. “Waalaikumussalam,” jawab Syamira.

“Siapa Emma?” soal Fattah. Langkah Erfaz terhenti. Erfaz pun pusing pada Fattah. Syamira buat muka tak bersalahnya.

“Apa maksud kau?” tanya Erfaz balik.

“Emma... Perempuan yang kau cium dulu. Aku jumpa dia siang tadi. Macam mana tu tak penting. Tapi aku tanya sekali lagi. Siapa dia sebenarnya? Kenapa kau tipu kak Fa? Kak Fa percayakan kau, dia setia dengan kau. Tapi kau simpan perempuan lain rupanya?” soal Fattah, bertubi-tubi.

“Ni bukan masa yang sesuai. Nanti kak Fa, Dazrien balik, aku ceritakan semuanya. Buat masa ni, kau rehat dan tunggu jer. Aku akan terangkan nanti,” Erfaz menyambung langkahnya menuju ke kereta.

Fattah tidak lagi bersuara. Mengingatkan Erfaz tentang pengetahuannya pasal rahsia tu, sudah cukup bagi Fattah.

***

Pagi seterusnya... Matahari baru nak terbit. Itulah masa yang sesuai untuk senaman pagi. Semua pelajar di kem, sedang berjoging di pantai yang nyaman udaranya. Agak meletihkan, sebab kaki mereka kadang-kadang tenggelam dalam pasir juga.

“Daz... Perlahanlah sikit! Awak tak letih ke?” Anne mencekak pinggang sambil meneruskan lariannya mengejar Dazrien di depan. Mendengar keluhan itu, Dazrien perlahankan rentaknya.

“Haih? Baru berapa minit lari, dah letih dah? Selalunya kalau joging, teacher boleh tahan lama sikit,” Dazrien samakan kelajuannya dengan Anne.

“Atas pasir ni letihlah. Kita berhenti kejap boleh? Kita minum air laut ni dulu ke,” Anne makin perlahan. Matanya makin terpejam. Rasa dah ringan sangat badan ni. Menyesal pulak janji dengan Dazrien, nak joging dua round. Kalau tak, dari tadi lagi mereka dah habis. Dah boleh minum air kelapa sekarang ni.

“Tak boleh... Kita dah nak sampai ni. Sikit jer lagi nak habis. Tahan sikit lagi yer,” Dazrien yang masih bertenaga, menolak. Kesian pulak kat teacher ni. Dah letih sangat nampaknya. Kena buat something ni.

Dazrien pun tunduk mengambil segenggam pasir. Lalu, dia melemparkan segenggam pasir itu pada Anne sebelum lari sejauh mungkin.

“How dare you?!” Anne terus bertenaga balik, mengejar Dazrien.

***

Syarfa duduk di bawah sebatang pokok kelapa. Mukanya kelihatan risau, setelah mendengar cerita dari Erfaz. Baru sehari dia tinggalkan Fattah, perkara buruk telah berlaku padanya.

“Macam mana Fattah sekarang? Dia sakit lagi ke? Kuat sangat ke bom tu?” soal Syarfa, bimbang.

“Fattah dah okay sikit rasanya. Dia dapat cuti sakit. Bom tu kuat, tapi taklah kuat sangat kena dia. Awak jangan risaulah. Kat sini okay jer. Awak fokus jer pada kem tu,” kata Erfaz.

“Hmm... Semalam saya ada terdengar berita pasal letupan tu. Tapi tak sangka pulak yang awak berdua terlibat jugak.

Erfaz... Berhentilah. Cukuplah awak libatkan diri dengan kes Hareez tu. Stop... Saya risau apa-apa jadi pada awak nanti. Saya tak nak apa-apa jadi pada awak. Semalam pun, kira nasib baik jer awak selamat. Please, dengar cakap saya kali ni,” pinta Syarfa.

“Iya, saya akan berhenti. Tapi saya perlu selamatkan Syamim dulu. Sampai sekarang ni pun, tak ada siapa-siapa tahu dia kat mana. Saya janji, lepas Syamim diselamatkan nanti, saya takkan terlibat lagi dalam benda-benda bahaya macam ni demi awak. Promise,” balas Erfaz.

“Teacher! Dahlah tu! Teacher tak letih ke?!” Dazrien melintas di depan Syarfa, berlari dengan sangat lemah sambil dikejar oleh Anne. Anne juga keletihan, tapi kena jugak balas. Pasir, dibalas pasir. Dia masih menggenggam pasir di dalam tangannya.

“Kenapa dengan Daz tu?” Erfaz tertawa kecil.

“Biasalah, dia dengan Anne. Awak, nanti saya call awak lagi. Nak kena leraikan diorang tu dulu. Takut bergaduh pulak,” Syarfa pun bangun.

“Okay. Love you, assalamualaikum,” kata Erfaz.

“Love you too, waalaikumussalam,” Syarfa letak, dan terus berlari anak mendapatkan Anne dan Dazrien.

***

Hareez dan Datuk Khalid turun dari kereta, menuju masuk ke dalam bangunan. Kedua-dua mereka, lengkap berpakaian uniform polis. Pihak media yang dari tadi dah menunggu, terus menyerbu mereka berdua.

“Awak jawablah. Saya naik dulu,” Datuk Khalid meninggalkan Hareez di situ. Tak lama lepas tu, beberapa orang polis datang berdiri di depan Hareez, menghalang para wartawan dari terlalu dekat dengannya. Hareez pun betulkan kolar dan batuk sikit.

“Inspektor Hareez! Baru-baru ni, tular sebuah berita yang mengatakan seorang pegawai polis telah diculik. Betul ke berita tu?” seorang wartawan lelaki mendekatkan mikrofonnya pada Hareez.

“Ya berita itu benar. Tapi identitinya, saya tak dapat dedahkan. Sekarang, pihak polis sedang mencuba segala jalan yang termampu untuk menjejaki pegawai yang telah diculik tu. Kita ada banyak sumber yang boleh dijadikan rujukan. Pada akhir cerita, kita kena beritahu semua penjenayah di negara ni, yang mereka telah silap buat keputusan jika mereka nak cari masalah dengan Polis Diraja Malaysia, PDRM,” jawab Hareez, tenang.

“Kes letupan yang berlaku di restoran semalam, adakah ianya berkait dengan kes culik ni? Ada khabar angin mengatakan, ianya adalah sebahagian daripada langkah penculik itu untuk memberi tekanan kepada pihak polis. Ianya juga dikatakan sebagai langkah tindak balas, selepas beberapa serbuan yang berjaya dilakukan oleh pihak polis. Apa komen tuan?” seorang lagi wartawan bertanya.

“Kes letupan semalam, masih dalam siasatan. Saya tak boleh komen apa-apa buat masa sekarang. Tapi, pihak kami tak menolak kemungkinan, dalang di sebalik letupan itu dan penculik yang menculik pegawai kami ialah orang yang sama. Sebab, kedua-dua kes ni berlaku dalam minggu yang sama,” jawab Hareez.

“Macam mana pula dengan lelaki yang mencurigakan rakaman CCTV yang tular sejak semalam? Adakah dia...,”

“Tak... Lelaki yang ada dalam rakaman CCTV itu tidak terlibat. Semuanya hanya salah faham kecil. Itu saja untuk masa ini,” Hareez terus menuju masuk ke dalam bangunan, meninggalkan wartawan-wartawan yang masih ingin bertanya.

***

Syamira keluar dari biliknya, menuruni tangga ke ruang tamu. Sampainya di bawah, dia mengeluh pendek. Inilah yang orang kata, susah kalau kahwin dengan orang yang baru kenal.

Atas sofa, ada baju Fattah. Atas lantai, ada stokin dia. Di atas TV pula, ada baju kerja.  Lampu, kipas, TV semuanya ditinggalkan hidup macam tu jer.

“Aku jugaklah yang kena kemas semua ni,” Syamira mengeluh sebelum menuju ke dapur pula. Peti ais dibuka, lalu Syamira ambil sebotol air calpis.

“Dah habis? Dah tahu habis, dia tinggal jer botol kosong dalam peti ni?” getus hati Syamira, ketika dia cuma mengangkat botol yang kosong.

“Tak apa Mira... Sabar... Inilah dugaan orang berkahwin,” Syamira bernafas tenang. Ini baru sikit, takkan dah nak bertengkar. Kehidupan berumahtangga, memang kena pandai bertolak ansur. Tak apa, nanti jumpa Fattah, pandai-pandailah bincang.

***

Setelah semua keperluannya diambil, Dazrien kunci pintu bilik. Kuliah sejarah, I’m coming! Dazrien terus menghala ke arah dewan belajar seorang diri. Dia yang paling lambat. Tapi tak juga, Ada yang lagi lambat. Sara, siap mengunci pintu biliknya dengan beberapa buah buku di tangan.

“Hai, Daz... Jom jalan sama-sama,” ajak Sara, yang kemudiannya berlari anak mengikut Dazrien. Dazrien tunggu Sara sampai, barulah menyambung langkahnya.

“Sara,” panggil Dazrien, perlahan. Sara menoleh dengan muka kosong.

“Ada apa-apa ke antara Sara dengan Johan?” soal Dazrien, tanpa memandang muka Sara. Pandangannya hanya ditundukkan ke bawah.

Sara pun tunduk juga, setelah mendengar pertanyaan itu. Dia pun, ada dengar tentang khabar angin antara dia dengan Johan. Berita itu membuatkan Sara rasa serba salah. Dia mendekati Johan hanya untuk menyembunyikan tentang hubungan antara dia dengan Dazrien, tapi lain pula jadinya. Kisah antara dia dengan Johan pula yang terbit.

“Sara bukannya sengaja. Cerita tu pun, bukan Sara yang buat. Orang lain,” kata Sara, masih tertunduk.

“Kalau bukan Sara sendiri yang rapat dengan Johan, diorang takkan buat cerita macam tu senang-senanglah. Daz sendiri pun tengok, Sara dah terlebih rapat dengan Johan. Sara tahu kan, yang Sara couple dengan Daz, bukan Johan,” balas Dazrien pantas.

“Tahu... Tapi Sara buat semua tu, sebab Sara ikut cakap Dazlah. Kan Daz sendiri yang pesan, jangan bagitahu orang lain pasal kita,” Sara mendongak pada Dazrien.

“Bukan dengan cara macam tu. Cara Sara tu, macam nak bagitahu orang lain, yang Sara couple dengan Johan pulak,” Dazrien juga memandang Sara.

“Ouh, macam tu. Semua ni, salah Sara jerlah? Daz ni kan, dari dulu lagi. Semua benda nak letak atas bahu Sara. Daz tak fikir pun pasal kesalahan Daz. Sepatutnya, Daz layan Sara macam orang couple lain akan buat. Tapi tak... Daz selalu sibuk. Tak pernah nak luangkan masa dengan Sara.

Jujurlah Sara cakap, Sara suka berkawan dengan Johan. Sebab dia selalu ada untuk buat Sara happy, tak kira masa. Dia lagi rapat dengan Sara berbanding Daz sendiri,” Sara mula marah.

“Ouh macam tu? Baguslah. Sebab selama ni, memang Daz tak pernah langsung ajar Sara matematik, sains dengan sejarah semua tu kan? Yang ajar semua tu selama ni, memang Johan,” Dazrien membuang pandangan.

“And one more thing, kalau Daz nak tahu... Baru-baru ni, kakak Daz ada chat Sara. Dia suruh Sara jauhkan diri dari Daz. Sara sebenarnya tak nak buat tu. Tapi sekarang, Sara akan fikir balik,” Sara terus berjalan semakin pantas, meninggalkan Dazrien di belakang.

“What? Sara, tunggu!” panggil Dazrien. Namun Sara tidak mengendahkannya. Apa? Jauhkan diri? Siapa yang chat Sara tu? Dazrien sangat hairan dan keliru. Hubungannya dengan Sara bertambah keruh.

***

Datuk Khalid meletakkan beberapa keping gambar di atas mejanya. Hareez yang duduk di depan meja, mengambil gambar itu dan memerhatikannya penuh tajam.

Gambar tu menunjukkan kawasan gudang terbiar, yang menjadi tempat persembunyian Ammar. Di beberapa sudut, ada beberapa orang lelaki yang lengkap bersenjata sedang berkawal. Dalam gambar yang satu lagi, ada sebuah lori sedang menghantar barang-barang yang disyaki dadah. Dalam gambar yang terakhir, kelihatan Ammar sedang berbincang dengan seseorang di depan keretanya di kawasan yang sama.

“Memang betul maklumat yang Mazhan terbagi tu. Gudang yang kawan awak semalam bagitahu tu, memang tempat persembunyian Ammar. Tapi kita tak boleh terus serbu,” kata Datuk Khalid.

“Kenapa?” Hareez memandang ketuanya itu.

“Perisik kita ada kata, yang orang-orang Ammar ni sangat ramai. Semuanya lengkap bersenjata api. Kalau kita masuk dan terus serbu macam tu jer, peluang untuk kita bawa Syamim keluar hidup-hidup amat tipis. Mungkin bila kita serang mereka, Syamim akan dibunuh dulu sebelum kita sempat jumpa dia. Kita kena fikirkan strategi,” Datuk Khalid menggaru kepalanya.

Harez sambung memerhati gambar-gambar itu. Ehh? Macam pernah tengok seseorang ni. Orang yang sedang berbincang sesuatu dengan Ammar di depan keretanya itu, nampak macam... Haa! Salah seorang dari wartawan yang selalu datang! Hareez mula memikirkan strateginya.

***

Sesudah solat zohor, semua pelajar kem bergerak ke dewan makan kecuali Dazrien. Dalam keadaan iftirasy, Dazrien memegang telefonnya. Perlu ke dia call Vivy dan tanya dia sendiri tentang apa yang Sara katakan?

Ya dia perlu. Dazrien terus call.

Di dewan makan, Syarfa sedar akan ketiadaan adiknya, Dazrien. Lalu Syarfa tengok di kawasan sekeliling, memang tak ada. Kalau ada, Syarfa dah dapat rasa kehadirannya. Soulmate nak dikatakan.

“Fauzi... Dazrien mana?” tanya Syarfa, ketika Fauzi yang sedang membawa sepinggan bihun goreng lalu di depannya.

“Kat surau lagi,” jawab Fauzi ringkas.

Syarfa tidak membuang masa lagi. Dia terus ke surau, mencari adik kesayangannya. Setibanya di surau, memang Dazrien ada di situ. Syarfa lihat dari arah belakang, dalam keadaan duduknya, Dazrien sedang bercakap dengan seseorang melalui telefon. Syarfa pun semakin menghampiri dengan perlahan, tidak mahu mengejutkan adiknya itu.

“Ya, Daz. Memang akak larang Sara dekat dengan Daz. Akak yang warning dia, jangan couple dengan Daz lagi. Dia dengar atau tak, akak tak tahu. Tapi, akak takkan berhenti. Akak takkan terima dia untuk jadi kawan Daz,” jawab Vivy, jujur.

Dazrien tertunduk. Ketika dia sedang cuba untuk memperbaiki hubungan dengan Sara, Vivy pula yang semakin merosakkannya.

“Tapi kenapa, kak? Apa salah Daz? Kenapa akak tak boleh terima Sara tu?” soal Dazrien, lemah.

“Bukan salah Daz. Tapi salah Sara. Dulu, akak ada join pertandingan badminton. Masa tu team akak bergaduh dengan team Sara. Disebabkan pergaduhan tu, team akak kena banned. Kitorang tak boleh teruskan lagi sampai ke final walaupun kitorang antara team yang terbaik.

Tapi semua ni bukanlah sebab pertandingan tu. Percayalah cakap akak... Daz memang tak kenal Sara. Apa yang dia tunjuk kat depan Daz sekarang, jauh bezanya dengan apa yang akak nampak masa tu. Kalau Daz kenal dia yang sebenarnya, Daz memang takkan nak berkawan dengan dia. Trust me, Daz,” terang Vivy.

“Itu dulu, kak. Sekarang dia mungkin dah berubah. Daz suka dia. Itu pilihan Daz,” balas Dazrien.

“Memang pilihan Daz. Tapi akak tak setuju. Akak takkan pernah setuju kalau Daz pilih dia. Dia berubah atau tak, itu kita tak pasti. Apa yang akak pasti, dia bukan orang yang baik untuk Daz. Daz layak terima orang yang lebih baik dari dia. Kalau Daz nak tahu, akak selalu nampak dia dengan Johan. Itu ke yang Daz panggil couple?” bantah Vivy, tegas.

Dazrien terdiam. Tak sangka, Vivy akan menentang pilihannya kali ini. Setiap masa, dia dan Vivy akan sehaluan. Tapi tidak kali ini. Malah, Vivy bertegas tidak mahu mengubah fikirannya.

“Keputusan akak muktamad. Akak takkan terima Sara. Akak akan cuba semua jalan, asalkan dia jauh dari Daz,” Vivy letak.

“Akak,” panggil Dazrien, namun tak sempat. Mungkin inilah yang Dazrien takut-takutkan dulu. Ujian...

“Such a bad day, huh?” Syarfa datang melutut di depannya. Dazrien mula rasa sedikit tenang mendengar suara itu. Bagai pelangi yang muncul selepas hujan. Itulah Syarfa, sentiasa ada bila Dazrien memerlukannya. Namun ketakutan Dazrien masih ada.

“Nothing is bad here.... Because you have me, Daz. Come on, tell me everything,” Syarfa ambil tangan Dazrien, dan letakkannya di atas riba. Tangan adiknya itu dibelai penuh mesra. Perbuatan itu sungguh menenangkan Dazrien. Seolah-olah, Syarfa boleh selesaikan semua masalahnya.

“Daz... Allah takkan bagi sesuatu yang tak baik pada orang yang baik macam Daz. Semua yang terjadi kat Daz ni, mesti ada baiknya. Cuma tiada sesiapa yang nampak. Tunggu... Nanti Daz nampaklah tu. Sebab tu, Daz kena selalu happy... Orang baik macam Daz, tak boleh sedih-sedih. Kena selalu senyum,” Syarfa tunduk, mencari wajah adiknya dan memberikannya senyuman yang amat manis.

“Ceritalah kat akak... Akak sentiasa sudi mendengar,” Syarfa goyangkan tangan Dazrien. Dazrien senyum semula. Kegembiraan jelas terpancar di wajahnya apabila Syarfa menyokongnya begitu.

***

Hareez berjalan keluar dari bangunan pejabatnya. Di depan lobi, ramai wartawan sedang menunggu kehadirannya. Masih banyak yang ingin mereka tanya.

“Inspektor Hareez!” macam artis, kehadiran Hareez disambut meriah. Lalu, datang beberapa orang polis berdiri di depan Hareez, cuba menghalang pihak media daripada terlalu dekat dengannya.

“Tuan! Adakah kemungkinan kes letupan yang disebabkan oleh orang yang sama akan berlaku lagi di bandar ni?  Adakah mereka akan cuba terus menekan pihak polis dengan cara membahayakan orang awam?” tanya seorang wartawan lelaki.

Hareez perhatikan setiap muka wartawan yang ada di situ. Yaa... Wartawan yang disyaki sebagai anak buah Ammar ada disitu. Dengan isyarat tangan di belakangnya, Hareez memberitahu pegawai-pegawai yang lain. Dengan isyarat itulah, beberapa orang pegawai mula mengeliling kawasan berhampiran di situ.

“Ianya mungkin berlaku. Tapi kami akan ketatkan kawalan di seluruh bandar, mahupun luar bandar. Bukan di sini sahaja, malah seluruh negara. Kita akan pastikan, mereka tidak lagi berani bertindak untuk membahayakan nyawa orang awam,” jawab Hareez.

Semua anggota polis yang ada di situ, memasang mata mereka pada lelaki yang ada dalam gambar yang Hareez edarkan pada mereka tadi. Makin lama, makin ramai polis di situ. Ada juga antara mereka, membentuk sebuah bulatan yang mengelilingi para wartawan bersama Hareez di dalamnya.

“Maksud tuan, polis akan meronda di kawasan bandar?” soal seorang wartawan.

“Ya... Jadi, hati-hatilah. Pastikan semua pengguna motosikal memakai topi keledarlah ya?” seloroh Hareez, menyebabkan tawa kecil dalam kalangan para wartawan.

“Ehem!” seorang polis lelaki batuk, memberikan isyarat pada Hareez. Semua polis dah bersedia.

“Dan kena hati-hati juga. Sebab dalam kalangan kita sekarang ni... Ada seorang perisik,” kata Hareez, matanya tajam memandang seorang lelaki.

Pow! Sedas tembakan dilepaskan ke atas oleh wartawan palsu itu. Pihak media yang lain terus lari tak tentu arah selepas mendengar tembakan itu. Wartawan palsu itu pun menendang kaki seorang wartawan lelaki di depannya sehingga wartawan lelaki itu berlutut di lantai. Wartawan lelaki itu dijadikan tebusan.

Hareez pun keluarkan senjatanya, lalu mengacukannya pada wartawan palsu itu. Polis yang lain juga buat begitu sambil cuba mengeluarkan pihak media yang lain dari kawasan bahaya.

“Letakkan senjata!” jerkah Hareez, diikuti dengan polis-polis yang lain.

“Undur! Kalau tak, aku tembak dia ni!” wartawan palsu itu menolak senjatanya pada kepala wartawan lelaki yang sedang berlutut itu.

Hareez dan anggotanya diam sekejap.

“Sediakan kereta. Minyak penuh,” arah wartawan palsu itu. Itulah isyaratnya.

Wartawan lelaki yang berlutut tadi, terus menarik tangan wartawan palsu itu sehingga tertiarap di lantai dan senjatanya jauh terpelanting. Dengan pantas, wartawan lelaki itu bangun lalu memijak belakang wartawan palsu itu supaya dia tidak dapat bangun.

“Good, Erfaz,” Hareez mengangguk pada wartawan lelaki itu. Erfaz membalas anggukannya. Wartawan lelaki itu ialah Erfaz sebenarnya. Dengan pantas, beberapa orang anggota polis mendekati Erfaz lalu mengambil anak buah Ammar yang sedang meniarap itu.

Kalau ada seorang lelaki yang berani melawan lelaki yang bersenjata api secara berdepan-depan, orang itu ialah Erfaz. Sebab tu, Hareez meminta pertolongan Erfaz sekali lagi.

***

Pada malam itu, Dazrien dan geng dia lepak di sebuah pondok. Semuanya nampak gembira. Mereka gelak-gelak, pukul-pukul, kadang-kadang mereka lari-lari pun ada. Memang sangat berbaloi dapat join kem macam ni dengan kawan-kawan. Malam ni, malam terakhir mereka di situ. Kelas pun, dah habis semuanya. Inilah masanya untuk mereka bergembira sebelum bertolak pulang pada tengah hari esok.

Sampai satu masa, semuanya berlari-lari mengejar Rizman. Dalam masa kurang 10 saat, semuanya berlari memecahkan kesunyian malam, meninggalkan Dazrien dan rakan sebiliknya di pondok itu.

“Wei Daz... Cara yang kau ajar tu, aku rasa menjadilah. Tadi masa makan tengah hari, aku perasan yang Masya tu tengah usha aku. Tapi aku buat derk jer. Senyum tak, pandang balik pun tak. Petang tadi pulak kan, dia usha aku lagi. Aku pun, buat tak kisahlah. Sampailah sekarang ni kan, aku rasa dia dah banyak usha aku. Aku macam dah dapat perhatian dia sekarang,” kata Syamsul, gembira.

“Aku pun rasa macam tulah. Masa joging pagi tadi kan, aku joging sekali dengan Laila. Kitorang adalah borak-borak kosong sikit. Pasal pantai, pasal homework... Kitorang rasa okay jugaklah. Boleh bergurau lagi. Pastu, aku lari laju sikit. Dia ikut wey! Aku cakap nak sampai awal, pastu aku terus tinggal dia. Bila masuk dewan lepas habis kuliah, dia sendiri yang datang ajak berbual. Fuhh! Gembiranya hati aku!” sahut Arif.

“Itulah aku cakap. Jangan bagi nampak sangat yang kita ni beria nakkan diorang. Kadang-kadang, kita kena ego jugak. Jual mahal sikit. Kalau kita tunjukkan yang kita sukakan diorang tu direct, diorang tak sukalah nanti,” Dazrien tunduk mengacau airnya di dalam gelas.

“Kau apahal hah? Buta ke apa?!” kedengaran suara kecoh. Dazrien mencari punca suara itu, dan terus bergegas ke sana dengan diikuti oleh rakan sebiliknya.

“Kau lari macam orang gila, nak salahkan aku lagi? Kau yang langgar aku!” Hazwan menolak Fauzi. Yang lain pun sama. Geng 3 S1 dan 3 A1 saling tolak menola. Adrian masih cuba menenangkan mereka semua.

“Kau tu yang buta! Dah nampak aku tengah lari kat sini, elaklah! Takkan tak nampak orang besar ni!” Fauzi juga menolak semula. Dazrien dan rakan-rakannya pun tiba di situ.

“Dah dah... Tak perlu gaduhlah... Benda kecil jer ni,” Dazrien mencelah di tengah-tengah kekecohan, cuba menolak gengnya ke belakang sedikit. Adrian juga berbuat begitu, supaya kedua-dua puak itu terpisah.

“Memang benda kecil! Diorang tu yang melebih!” kata Rizman, marah.

“Kau apahal, Blackpanther?!” balas seorang pelajar 3 A1. Sebelum keadaan bertambah buruk, Adrian berjaya menolak semua rakannya berundur. Akhirnya, mereka semua menuju ke bilik masing-masing. Begitu juga dengan geng Dazrien. Dalam keadaan marah, mereka semua berpecah menghala pulang ke bilik.

“Bilalah semua ni nak habis?” Dazrien mencekak pinggang, menggeleng perlahan. Johan, Arif dan Syamsul pun begitu. Sampai bilalah dua puak ni nak bergaduh?

“Ehh? Sara, Laila, Masya? Dari mana nak ke mana?” sapa Johan, mesra apabila ketiga-tiga perempuan itu melintasi mereka, menuju ke bilik.

Arif dan Syamsul, terus control macho. Buat-buat terkejut dengan kehadiran mereka bertiga, biarpun dari tadi mereka dah perasan. Lepas tu, mereka berdua buat-buat berbual, macam tak kisah dengan kehadiran crush mereka di situ.

“Baru lepas study sikit. Nak balik ke bilik ni. Boyfriend dah janji nak call malam ni,” jawab Masya. Krak! Sesuatu terkoyak dalam diri Syamsul.

“Ha ah... Dari semalam lagi dia nak call. Tapi kitorang busy study. Kesian diorang,” sahut Laila. Bamm! Arif juga terkedu.

“Ouh macam tu... Baguslah korang ingatkan boyfriend masing-masing. Dunia kita ni perlukan orang setia macam korang. Baru tak rasa sakitnya kena tipu,” balas Dazrien gembira, sambil ekor matanya menjeling tajam pada Sara. Sara juga menjeling marah.

“Okay... Kitorang balik dulu yaa... Takut ada yang sakit hati pulak nanti,” Sara pun beredar, diikuti rakan-rakannya yang dua lagi.

Arif dan Syamsul, menutup muka masing-masing. Dazrien dan Johan berbalas senyuman, sambil melihat reaksi rakan mereka yang tengah berdukacita tu.

“Mengapa ini semua, harus berlaku? Apakah ini semua, kerna diriku? Sedangkan aku, cuma watak, dalam percintaan... Tak sanggup, aku melupakan Masya... Tak sanggup, aku melupakan Laila...,” Johan sempat menyanyi, sebelum terus menuju ke bilik.

 “Boyfriend call?!” mereka pun buat-buat suara sedih nak menangis. Dazrien tepuk dahi sendiri, sambil menggeleng perlahan.

***

Fattah melangkah masuk ke dalam rumah. Sedar-sedar jer, Syamira dah ada di ruang tamu, menunggu di sofa. Muka Syamira nampak agak marah.

“Kau keluar dengan Fiqa lagi ke?” tanya Syamira, tegas. Fattah mengeluh perlahan. Dahlah dia masih lagi sakit, dicampur pula dengan letih, disoal begitu pula oleh Syamira.

“Kan kita dah bincang pasal tu. Aku just nak tolong dia sembuh dari penyakit dia jer. Lepas tu, kitorang ambiklah haluan masing-masing. Percayalah, kitorang kawan jer, tak lebih dari tu,” Fattah melangkah, menuju naik ke bilik. Syamira yang masih duduk di sofa itu, membiarkan Fattah melewati di sebelah sofa tempatnya duduk.

“Yelah. Aku percaya. Tapi Fattah, ada something yang aku nak ajak...,” Syamira menoleh ke belakang, dan Fattah dah tak ada di situ. “Bincang,” bisik Syamira, perlahan.

Syamira tertunduk ke lantai. Hmm... Tak apa... Masih awal lagi untuk dia melenting.

***

Di depan bilik Dazrien, dia dan Johan sedang bermain telefon. Internet laju di situ. Seronok jugalah bila dapat main game. Tapi, ada yang sedang menangis dalam bilik. Hahaha... Kesian...

“Daz... Jom pergi dewan makan. Akak kau ada belikan makanan lewat malam,” ajak Johan, sambil melihat mesej Whatsapp di telefonnya.

“Okay... Kau pergilah. Aku nak pujuk orang dulu,” Dazrien pun bangun dari kerusinya, menuju masuk ke dalam bilik. Johan mengangguk, dan terus menghala ke arah dewan makan.

“Wei... Jom makan. Akak aku ada beli Pizza. Sekotak sorang. Jomlah,” ajak Dazrien.

Syamsul dan Arif yang masih meniarap di katil mereka, tidak menjawab. Mereka bungkuskan diri dalam selimut, dengan kepala ditutupi oleh bantal. Dazrien tergelak perlahan, tanpa suara. Perlahan-lahan, dia duduk di katil Syamsul, bersebelahan kakinya.

“Baru aku tahu... Dah ada boyfriend rupanya si Masya tu. Hmm... Untunglah siapa yang jadi pakwe dia. Sopan santun, pandai, cantik pulak tu... Kesianlah kat siapa yang melepas si Masya tu kan?” Dazrien ternganga nak gelak, tapi tiada suara dilepaskan.

“Kau sibuk apahal?!” terkejut beruk Dazrien dengan sergahan Syamsul itu. Sampai jatuh dari katil dibuatnya. “Wuaaaaargh!” Syamsul pun selamkan semula kepalanya ke atas tilam.

Dazrien menggosok belakang sendiri sebelum beralih pada katil Arif pula.

“Arif... Tak payahlah sedih-sedih lagi. Laila tu dah bahagia dengan boyfriend dia. Lepaskan jerlah. Dia dah buat pilihan. Dia pilih lelaki lain, bukan kau,” Dazrien cuba intai muka Arif.

“Kau memang sengaja kan?!” Arif menoleh laju. Dazrien yang agak terkejut, terus berdiri semula. “Laila!” Arif sambung menangis.

Sambil tergelak-gelak kecil, Dazrien terus menuju ke dewan makan. Sampai jer di situ, Syarfa terus menyambutnya dengan senyuman anggun.

“Ini dia... Yang Daz punya, special sikit,” Syarfa berikan Dazrien, sekotak pizza yang lain dari yang lain.

“Thanks,” Dazrien senyum pada kakaknya. Lalu, Dazrien mencari tempat yang boleh dia duduk. Semua meja, dah ada orang. Tapi ada satu meja, di mana hanya ada dua orang. Bolehlah dia duduk situ. Tapi, dua orang itu ialah Johan dan Sara. Dia terus menolak.

“Daz makan kat biliklah yer? Ni, Daz tolong ambilkan yang Syamsul dengan Arif punya,” Dazrien ambil dua kotak lagi dari meja.

“Haa, tulah yang akak nak tanya. Kenapa diorang tak datang?” tanya Syarfa.

“Broken,” Dazrien tersengih. Syarfa pun tersengih sama. “Yelah. Makan elok-elok taw,” pesannya.

Sebelum pergi, Dazrien sempat memberikan Syarfa satu ciuman mesra di pipinya. Syarfa menerima ciuman itu dengan penuh bahagia.

Dazrien sampai di depan bilik, dan perasan yang selipar dua orang tu masih ada. Dazrien tersengih macam orang jahat, lalu meletakkan semua kotak pizza tu di atas meja.

“Sedap pizza ni wei! Rugi siapa tak makan!” laung Dazrien, sengaja. Masih tiada respond. Tak apa... Dazrien pun buka salah satu kotak.

“Ya Allah! Tengok pun dah tahu sedap! Panas lagi! Subhanallah, cheese dia!” Dazrien menghidu bau pizza yang sangat menggoda itu. Syamsul dan Arif masih senyap.

“Kalau sedap macam ni, tiga-tiga kotak pun habis aku makan! Alhamdulillah! Boleh makan sorang!” Dazrien duduk sambil menarik lengan bajunya ke siku.

Pintu pun dibuka. Arif dan Syamsul melangkah keluar dengan muka yang nampak seperti mengantuk. Lalu, mereka duduk di meja sambil menjeling Dazrien dengan tajam.

“Kawanlah macam ni. Makan sorang-sorang, tak nak ajak. Dah tahu kawan tengah sedih, dia pergi mengusik lagi,” Syamsul mengambil sekotak pizza tu dan membukanya.

“Entah... Dah tahu kawan tengah bersedih, dia biarkan jer kebulur dalam bilik. Memang terbaik kalau dapat kawan macam kau,” Arif pun sambil sekotak.

“Tak payah nak sedih sangatlah... Takkan pasal seorang perempuan, korang dah nak menangis macam budak hilang mainan. Come onlah, bunga bukannya sekuntum,” Dazrien menggeleng.

“Memang bukan sekuntum. Tapi bunga tulah yang kitorang nak. Kau tak faham sebab bukan jodoh kau,” Arif menggigit.

“Salah koranglah... Letak harapan tinggi sangat. Belum tentu jodoh korang pun, dah angan-angan macam-macam. Ni, aku nak tanya. Yang datang bawak makanan korang ni siapa? Kawan ke crush?” Dazrien mencekak pinggang.

“Ye ye, tahu... Kawan,” Syamsul mengalah.

“Itulah point dia. Daripada sibuk nak kejar sangat crush yang belum tentu dapat, baik korang jaga hubungan dengan kawan-kawan yang selalu ada untuk sokong. Tak salah kalau korang nak ada crush. Tapi utamakanlah kawan-kawan,” pesan Dazrien.


Syamsul dan Arif mengangguk faham. Betul kata Dazrien tu.

Tiada ulasan: